Sunday, 11 August 2013

Nyetok Karung

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya ke 4.. Semalam saya dikejutkan dengan kekejangan betis yang maha dasyat. Teruk betol penangannya hinggakan betis terasa kejang dan sakit macam nak putus urat. Orang kata kalau tiba-tiba diserang kejang betis ni, cepat-cepat tekan kaki kat dinding. Tak sempat nak terpulas urat saraf, ia dah hilang. Fuh!! Memang perit. Kejang otot betis ni kita panggil 'Simpul Biawak', atau orang Kelantan panggil ‘nyetok karong’ (simpul mengkarung). Mungkin sebab kekejangan dengan tiba-tiba tu menyebabkan kita bertukar jadi macam mengkarung kot. Haha


Cakap perihal ‘nyetok karong’ ni, teringat kisah lucu masa belajar kat IPT dulu. Masa tu saya tidur sebilik dengan kawan rapat saya, Norma. Katil dia belah kanan, saya belah kiri. Kira bersebelahan la. Suatu malam, dengan tiba-tiba saya terjaga pukul 3 pagi. Suasana sunyi sepi dan cahaya samar-samar masuk melalui tingkap. Selepas berkelip-kelip dalam gelap seketika, saya memandang sebelah kanan.

Serentak itu juga saya terpandang makhluk hodoh dengan rambut panjang mengerbang sedang duduk berlunjur atas katil Norma. Cahaya samar-samar yang hinggap dimukanya buat wajah makhluk tu semakin menggerunkan. Saya terus bangun sambil memegang kain selimut sambil nganga mulut luas-luas.. Uwwwaaaaaaa!!!!!!! Dengan mata terbeliak ketakutan.

Kemudian makhluk itu semakin marah sambil mencebik bibir.

Air mata mengalir dengan lajunya dan badan semakin menggigil ketakutan.

“Mu ingat aku ni hantu ke?” Norma bersuara dengan nada marah dan muka yang masam giler.

Rasa takut beransur hilang, namun geli-hati pulak muncul dengan tiba-tiba. Ahh tak kira, nak ketawa jugak! Hahahha

Rupa-rupanya Norma diserang ‘nyetok karung’ dan sedang menahan sakit dengan muka menggerunkan. Saya pulak bertempik entah apa-apa. Tak pasal-pasal buat si Norma marah. Hahahaa.

Info tentang Kejang Betis/Nyetok Karong

Dr. Zubaidi Ahmad dari Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, berkata, kekejangan berlaku disebabkan pengecutan otot secara tidak terkawal yang dikenali sebagai noctunal leg cramps yang menyebabkan kesukaran untuk bergerak dan berasa sakit.

Tegasnya, kekejangan otot bukan setakat masalah yang tertumpu pada otot kaki atau betis sahaja malah mungkin boleh berlaku di bahagian-bahagian lain seperti paha, perut, tumit dan juga tapak kaki.

"Kekejangan ini selalunya disebabkan keletihan otot yang digunakan dalam pergerakan yang berterusan dan menyebabkan pengumpulan asid laktik dalam otot berkenaan.

"Biasanya ia akan pulih dengan berehat yang akan memulihkan pengaliran darah ke otot berkenaan,'' ujar Dr. Zubaidi.

Terang beliau lagi, keadaan itu sebenarnya berpunca daripada dehidrasi, kekurangan garam mineral, seperti magnesium, potasium, sodium dan karbohidrat.

Selain itu keadaan otot yang terlalu tegang serta kekurangan pengaliran darah di bahagian kaki akibat posisi yang tidak betul juga mencetuskan kekejangan.

Begitupun, teori yang lebih popular adalah keadaan keterujaan pada saraf otot-otot (neural excitability) yang terlibat, menyebabkan keadaan tersebut berlaku.

"Otot yang paling lazim dikaitkan dengan masalah kejang adalah otot di bahagian betis, Bagaimanapun ia turut berlaku di bahagian lain.

"Tidak dinafikan, keadaan ini amat sakit dan menyebabkan gangguan kepada pesakit yang kebiasaannya berlaku dengan sekelip mata,'' ujarnya.

Kata Dr. Zubaidi, dalam situasi sedemikian, cara terbaik untuk mengurangkan kesakitan ialah dengan berdiri dan berjalan bagi merenggangkan otot-otot berkenaan sekali gus darah akan turun ke kaki dan menghilangkan simptom tersebut.

Tambah beliau, keadaan berkenaan boleh juga diredakan dengan membengkokkan kaki atau betis ke arah badan.

"Pada peringkat awal semestinya ia amat menyakitkan. Namun ia akan memberi kelegaan .

"Ketika itu juga, urutlah betis perlahan-lahan menggunakan tapak tangan dengan minyak panas dan cuba berjalan dengan memijak pada hujung tapak kaki.

"Sekiranya sakit berlarutan dan bahagian betis menjadi bengkak segeralah bertemu doktor kerana keadaan ini mungkin bukan kekejangan yang biasa tetapi terdapat darah beku dalam otot menyebabkan ia berlarutan,'' ujarnya.

Bagaimanapun tegas beliau, kekejangan itu turut berlaku kepada wanita-wanita yang hamil apabila otot mengeras disertai rasa sakit pada bahagian yang diserang.

"Kebiasaannya ia akan berlaku pada trimester kedua iaitu tiga bulan ke atas. Keadaan ini berpunca apabila rahim semakin membesar.

"Dalam keadaan itu, kaki yang penat membawa beban akan mudah menjadi lenguh dan menyebabkan kekejangan,'' ujar Dr. Zubaidi.

Malah, tekanan rahim yang membesar pada saluran darah juga turut mengganggu perjalanan darah ke bahagian kaki.

Terangnya, dalam situasi sedemikian, wanita yang hamil dinasihatkan tidak berdiri atau menyilang kaki dalam tempoh yang lama.

Sebaliknya, cuba renggangkan otot kaki pada siang hari dan sebelum tidur.

Mereka juga dinasihat menggerakkan sendi-sendi pergelangan kaki dan jari supaya darah boleh mengalir dengan mudah.

Selain itu pastikan meminum air dengan kuantiti yang secukupnya.

Katanya lagi, tuaman menggunakan ais juga boleh melegakan kekejangan dan merenggangkan semula otot.

Selain itu imbangan pemakanan dengan pengambilan makanan berkarbohidrat, air dan garam mineral yang secukup juga adalah penting dalam pencegahan kekejangan otot.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm#ixzz2bc6ipMJV
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Thanks for reading..

No comments: