Monday, 4 June 2012

Kisah Lucu Disebalik ‘Keterbolahan’ku

Assalamualaikum..

Perkataan TERBOLAH adalah bahasa baku orang Kelantan yang boleh diklasifikasikan sebagai sifat atau perbuatan dari ketidaksengajaan yang memalukan dan memberi kesan negatif kepada diri sendiri mahupun orang lain. Ia juga bermaksud GOPOH-GAPAH atau jenis tidak berhati-hati serta tidak cermat dalam melakukan sesuatu perkara.

Paling tepat aku ni jenis suka gopoh-gapah la. Bila  buat sesuatu kerja memang selalu tergopoh-gapah dan tidak sempat berfikir panjang,  pastu mulalah menyesal. Tapi ada diantaranya yang memang buat aku geli hati sampai sekarang. Bila teringat je pasti ketawa dan lepas tu rasa menyampah dengan diri sendiri. Ee.. memalukan betol! Harap-harap takder sesiapa yang ingat peristiwa tu, kihkih. Biarlah aku sorang je yang ingat untuk dijadikan kenangan lucu dalam hidup.

Tragedi 1

Peristiwa ni berlaku masa aku tingkatan 4. Zaman sekolah dulu aku minat sorang budak lelaki ni. Hensem la jugak. Aku minat kat dia sebab dia hensem, berkarisma dan paling aku suka dia adalah salah seorang pelajar cerdik kat sekolah tu. Tapi aku sekadar minat dan tengok2 dari jauh je. Kalau dia terpandang muka aku, aku buat-buat tak tahu je. Lagi pun aku ni bukanlah jenis suka berkawan dengan lelaki dan bercinta.

Masa tingkatan 4 aku sekolah sesi petang. Jadi, bila masuk waktu solat Asar semua pelajar kena pergi solat dulu kat surau. Seperti biasa lah, sambil memegang kain sembahyang aku akan berlari-lari anak ke surau sebab nak solat berjemaah, duduk dibarisan depan dan yang paling penting dibawah kipas. Dengan langkah kaki dihayun laju aku melalui kawasan kantin dicelah-celah barisan meja makan sebab nak cepat sampai. Jalan ‘shortcut’ kegemaran aku sebab tak sibuk dengan pelajar lain. Kat hujung kantin didepanku ada sebuah papan kenyataan yang sememangnya besar. Jadi sebarang benda yang ada kat belakang papan tanda tu aku tak tahu lah. Yang aku nampak dalam kotak fikiranku ialah surau, wuduk, tempat parking kasut (takut kena pijak), solat berjemaah di barisan paling hadapan dan kipas.

Dek kerana keterbolahan, sesampai saja kat papan kenyataan tu kaki aku terus tersadung kaki papan kenyataan tu. Bedebob! Aku jatuh tertiarap atas lantai kantin macam orang terbang payung terjun lagaknya. Dengan tangan dan kaki yang mendepa luas. Kain sembahyang aku tercampak dan terguling beberapa meter ke depan. Pada masa tu kedengaran suara beberapa orang lelaki yang terkejut dengan insiden tu. Rupanya ada beberapa orang pelajar lelaki sedang duduk berbual disebalik papan kenyataan tu dan aku pulak tersungkur betol-betol dibawah meja bulat tempat mereka lepak.

Suasana hening seketika dengan keadaan mereka terlopong dan aku pulak terkejut badak. Tiba-tiba kedengaran suara pelajar lelaki suruh bangun. Macam kenal je suara tu. Aku cepat-cepat bangun dengan muka memang dah semacam ada cengkerang kura-kura yang melekat. Keras dan tebal.

Kain sembahyang aku? Tercampak bawah kerusi seorang pelajar yang aku memang kenal sesangat. Lelaki tu!! Oh! Sungguh memalukan. Dengan selamba dia kutip kain sembahyang aku dan aku cepat-cepat ambil lalu berjalan pergi dengan keadaan terhinjut-hinjut macam orang cacat. Masa tu terasa macam tak nak berjalan jer. Nak terbang  dan menggaibkan diri sekelip mata.

Petang tu solat Asar ku tak kusyuk. Walaupun tempat berkipas aku dikebas orang, tapi aku tak panas. Kaki aku terasa sakit menyengat. Terseliuh agaknya. Fikiran aku melayang mencari jalan untuk tidak bertembung dengan saksi-saksi insiden tadi. Lepas ni sumpah aku tak tunjuk muka dah kat budak lelaki tu!


Tragedi 2

Kisahnya terjadi semasa aku bekerja di sebuah syarikat kontraktor. Pada hari kejadian, aku dikehendaki pergi ke ibu pejabat untuk menyelesaikan hal kerja. Jam menunjukkan pukul 4 petang dan kerja pun dah selesai, tapi terasa malas pulak nak balik ke ‘site office’ sebab ada sejam je lagi waktu kerja. Jadi aku ambil keputusan untuk pergi ke pasar yang tak berapa jauh dari  situ.

Tabiat aku masa tu suka ‘drive’ dengan memakai selipar jepun sebab aku tak selesa tekan pedal dengan memakai selipar tapak tinggi. Jadi kat bawah ‘seat’ tempat aku duduk ada 2 pasang selipar berbeza lah.
Sesampainya aku kat pasar, dengan tergopoh-gapah aku terus menyarung selipar satu lagi dan meluru keluar, tutup pintu kereta, dan berjalan sambil menekan ‘remote’ kunci kereta dengan penuh yakin dan bergaya. Beberapa orang makcik dan pakcik yang menjual di tepi jalan memerhatikan gelagatku sambil tersenyum. Biasalah, mungkin nak tarik pelanggan ke kedai mereka.

Beberapa meter aku meninggalkan kereta barulah aku terperasan yang aku berjalan senget sebelah macam orang cacat. Aku pelik, kenapa pulak? Sedangkan aku sekarang berada di atas jalan tar yang rata.
Tiba-tiba aku berhenti dengan mata terkejut dan mulut ternganga. Sambil menelan air liur aku terus pusing dan berlari ke kereta terhinjut-hinjut. Masa tu aku rasa macam nak lari secepat kilat dan lesap macam ‘The Mask’. Aku terus meluru masuk ke dalam kereta dan memecut selaju mungkin.

Cis! Tak guna! Aku menyumpah-nyumpah diri sendiri dengan muka merah padam. Kenapa la aku pakai selipar jepun sebelah selipar tapak tinggi sebelah? Tak ada manusia buat lagi setakat ni. Orang gila pun tak pakai macam tu. Eee..tak guna betol! Sumpah aku tak pergi dah ke pasar tu lepas ni!

Hmm.. disebabkan sifat terbolah aku tu banyak tempat dah yang aku tak boleh pergi.. nasib2.


Tq 4 reading my entry!

No comments: